Anggota Rela derma darah 219 kali sejak 1995

Sinar Harian
Mac 14, 2023 11:18 MYT
Zakaria bersama sijil penghargaan yang diterima pada Program Derma Darah dan Mass CPR sempena Hari Pembantu Perubatan peringkat negeri di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah di Kuala Nerus, Terengganu. - Gambar SINAR HARIAN
KUALA NERUS: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dinobatkan sebagai penderma darah terbanyak di Terengganu apabila menderma darah secara konsisten sebanyak 219 kali sejak 1995.
Zakaria Omar, 48, dari Kampung Baru Tetambah, Manir, di sini, aktif menderma darah sejak berusia 20 tahun.
"Mula-mula boleh terdetik nak derma darah masa saya kerja di Shah Alam. Waktu itu, saya ikut kawan-kawan yang mempelawa saya ikut mereka untuk derma darah.
"Bermula dari situ, saya rasa seronok pula derma darah, bukan sahaja badan bertambah sihat, saya juga rasa gembira dapat membantu mereka yang ditimpa kesusahan seperti kemalangan dan seumpamanya," katanya.
Zakaria ditemui pemberita selepas Program Derma Darah dan Mass CPR sempena Hari Pembantu Perubatan peringkat negeri di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah di sini pada Isnin.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, proses derma darah dilakukan sekali dalam tempoh tiga bulan manakala bagi proses derma sel darah, platelet dan plasma pula dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu.
"Waktu saya kerja di Rawang pada 1999 saya sering ke Pusat Darah Negara untuk menderma darah.
"Pada 2002 saya mula derma sel darah yang membolehkan saya lebih kerap menderma. Jadi saya lebih kerap ke pusat berkenaan untuk menderma darah. Dua minggu sekali saya ke situ.
"Selain itu, saya akan menderma darah di mana-mana tempat yang mengadakan kempen derma darah," ujarnya yang turut berikrar untuk menderma organ.
Zakaria yang menerima pingat gangsa dari Pusat Darah Negara tahun lalu telah kehilangan isteri pada 5 Disember tahun yang sama akibat penyakit buah pinggang.
Katanya, walaupun masih bersedih dengan kehilangan insan tersayang, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada masyarakat dan menyasarkan untuk menderma darah sebanyak 300 kali selagi masih berupaya.
"Ada orang yang bimbang derma darah akan menyebabkan penyakit. Sebenarnya tidak. Jangan takut untuk derma darah bagi mereka yang sihat kerana ia tidak memberikan impak terhadap kesihatan.
"Asalkan kita dapat rehat yang cukup pemakanan yang seimbang. Tak ada masalah untuk derma darah," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#derma darah #anggota Rela #derma darah 219 kali #219 kali derma darah
;