Anggota rejimen askar wataniah perlu sentiasa siap siaga - Raja Muda Perlis
Bernama
Januari 25, 2023 12:03 MYT
Januari 25, 2023 12:03 MYT
KANGAR: Raja Muda Perlis, Brig Jen Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar pegawai dan anggota Rejimen 504 Askar Wataniah diletakkan dalam status siap siaga agar boleh dimobilisasi apabila diperlukan.
Baginda bertitah, bagi memastikan konsep membantu ganti atau augmentation dapat diimplementasikan, setiap pegawai dan anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah mestilah mempunyai kemahiran ketenteraan setanding dengan angkatan tetap.
"Ia dapat direalisasikan dengan peningkatan dalam menjalani latihan ketenteraan dan latihan bersama angkatan tetap," titah baginda yang juga Komander rejimen berkenaan menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Istana Arau hari ini.
Menurut kenyataan itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan menerima sembah mengadap Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW) Leftenan Kolonel Lasahi Laiji bagi membincangkan hala tuju dan perancangan rejimen pada 2023 di Bilik Persidangan, Galeri Di Raja Arau semalam.
Kenyataan itu turut menyebut, Lasahi menyeru anak muda Perlis menyertai rejimen berkenaan dengan hadir ke Kem Rejimen 504 Askar Wataniah Bukit Keteri pada Isnin hingga Jumaat (30 Jan hingga 3 Feb) bermula 8 pagi bagi sesi pemilihan dan pendaftaran.
Katanya, penglibatan anak muda menyertai Askar Wataniah amat diharapkan agar dapat bersama-sama bertindak sebagai barisan hadapan bagi menghadapi sebarang ancaman kepada negara. - BERNAMA
#Rejimen Askar Wataniah
#latihan ketenteraan
#Raja Muda Perlis
#Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail