Anggota polis wanita positif dadah, ditahan berhibur sambut tahun baharu

Umavathi Ramayah
Januari 2, 2025 12:20 MYT
Mohamad Lazim Ismail berkata, ujian saringan awal yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah. - Foto fail/BERNAMA
WANGSA MAJU : Seorang anggota polis wanita ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan dalam satu operasi khas Ops Hiburan sempena sambutan Ambang Tahun Baharu di Jalan Tun Razak, di sini awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, ujian saringan awal yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine/ Methamphetamine/ Ketamin / Benzo.
Menurutnya, suspek yang berusia 26 tahun itu sedang bercuti sebelum melaporkan diri di Kontinjen Johor.
"Kita bawa suspek ke Ibu Pejabat Wangsa Maju untuk untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Mohamad Lazim berkata, suspek itu kini ditahan reman dua hari bernula Isnin.
Bagaimanpun ujar beliau, dia dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu laporan patalogi.
Kes itu menurutnya disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun atau tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
#pusat hiburan #ujian saringan #anggota polis #positif dadah
;