Anggota polis URB patah paha dilanggar lari
Bernama
Februari 13, 2020 23:13 MYT
Februari 13, 2020 23:13 MYT
Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, patah paha kanan dan cedera di beberapa bahagian lain selepas dilanggar lari oleh sebuah kereta di lampu isyarat Simpang Empat Paya Besar, Kulim, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim DSP Safuan Md Noor berkata dalam kejadian pada 1.14 pagi itu, Koperal Nurhishamuddin Muhamat Ismail, 39, yang baru selesai bertugas dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Padang Serai dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5.
"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna perak yang datang dari arah Jalan Kilang Lama menghala ke Lunas telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh mangsa yang sedang bergerak dari arah berlainan.
"Sebuah kereta peronda Balai Polis Hi-Tech yang kebetulan berada di situ cuba mengejar kereta suspek, tetapi mengambil keputusan untuk kembali semula ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Safuan berkata mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa patah paha kanan dan cedera di tangan kiri.
"Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan suspek sedang dikesan. Saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil ke IPD Kulim atau balai polis berdekatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#anggota polis
#kemalangan
#Kulim
#langgar lari
#PDRM
#polis
#polis patah paha
#Unit Rondaan Bermotosikal
#URB