Anggota polis terima sampul berisi wang semasa bertugas satu kesalahan - KPN

Bernama
Februari 7, 2024 17:17 MYT
Razarudin pada sidang media selepas majlis pelancaran Op Selamat 21 dan VSP 2.0 sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS hari ini. --fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Mana-mana pegawai atau anggota polis yang menerima sampul berisi wang atau angpau semasa waktu bekerja merupakan satu kesalahan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata hal ini kerana mereka telah dibayar gaji setiap bulan, selain mengelak berlakunya kejadian salah laku jenayah.
"Melainkan mereka ini tidak bekerja (dalam polis) dan itu dibenarkan menerima angpau daripada rakan atau ahli keluarga sempena apa-apa perayaan.
"Polis mempunyai prosedur operasi standard bahawa setiap anggota polis yang keluar bertugas perlu diberi taklimat selama 15 minit oleh penyelia dan melakukan pemeriksaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 21 dan Perasmian VSP 2.0 bersempena Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS, Subang, di sini, hari ini.
Razarudin berkata pemeriksaan itu antaranya melibatkan pemeriksaan jumlah wang saku yang dibawa oleh anggota, pemeriksaan senjata api dan kereta peronda polis.
"Sebagai contoh jika anggota polis itu dalam wang sakunya ada RM100 maka anggota berkenaan perlu membuat pengisytiharan di dalam buku, termasuklah apa sahaja barang yang dibawa oleh anggota itu.
"Sekiranya anggota itu keluar bertugas membawa RM100 maka pulang bertugas pun mestilah RM100 juga, penyelia yang baik akan membuat pemeriksaan sebelum dan selepas bertugas," katanya.
Beliau berkata perkara ini telah ditegaskan kepada semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah serta pegawai kanan polis di seluruh negara.
"Mereka perlu menentukan penyeliaan setiap pegawai dan anggota polis yang bertugas di pentadbiran masing-masing," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai seorang anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis di Kuala Lumpur yang menyimpan wang tunai yang diragui sumbernya apabila selesai bertugas, Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan.
Razarudin berkata kes itu sedang disiasat oleh JIPS.
Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dilapor berkata JIPS sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang anggota polis yang dikesan menyimpan beberapa sampul angpau mengandungi wang tunai yang diragui sumbernya dalam pemeriksaan di sebuah balai polis di ibu kota.
Dalam perkembangan lain, menyentuh mengenai perkembangan siasatan berhubung kenyataan Tony Pua yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Razarudin berkata kertas siasatan kes itu dijangka siap dalam tempoh terdekat.
"Siasatan kes akan disiapkan dalam tempoh tujuh hari sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, polis telah mengambil keterangan Tony Pua pada Isnin lepas dan kes itu masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #Tahun Baharu Cina
;