Anggota polis retak tempurung kepala ditetak suspek dadah
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 1, 2023 16:21 MYT
Mac 1, 2023 16:21 MYT
GEORGE TOWN: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal retak tempurung kepala dan cedera di bahagian dahi akibat ditetak seorang suspek dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging, lewat malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 malam ketika mangsa yang berusia 29 tahun dari Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berhampiran bersama seorang lagi anggota.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengekori seorang suspek lelaki yang melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan menunggang sebuah motosikal.
Setelah mengekori sejauh 150 meter, anggota polis berkenaan berjaya menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas suspek, namun berlaku pergelutan di antara mereka.
“Ketika diperiksa, suspek telah melakukan provokasi dan berlaku pergelutan.
"Suspek kemudiannya mengambil sebilah pisau yang terdapat di lokasi kejadian dan menetak anggota saya.
"Anggota saya bukan sahaja mengalami kecederaan tetapi juga keretakan pada tengkorak,” katanya.
Menurut Shuhaily, kejadian itu berlaku di sebuah kawasan perumahan dan suspek mendapatkan pisau berkenaan yang terdapat di situ yang kemudian digunakan untuk menetak mangsa.
Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya.
“Hasil daripada siasatan lanjut kita mendapati dalam motosikal suspek terdapat satu bungkusan hitam yang mana terdapat 30 paket kecil yang kita percaya adalah dadah jenis heroin,” ujarnya selepas melawat anggota berkenaan yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Mungkin sewaktu pemeriksaan, suspek takut ditangkap menyebabkan berlakunya pergelutan di antara dia dan anggota saya sehingga membawa kepada kecederaan pada malam semalam,” ujarnya.
Menurutnya, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditahan semula di sebuah pangsapuri kira-kira jam 3.40 pagi dan pisau yang digunakan dalam kejadian itu berjaya dirampas.
Suspek yang turut mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah itu direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
#retak tempurung kepala
#pisau pemotong daging
#Balai Polis Bandar Baru Ayer Itam
#suspek dadah ditahan