Seramai 93 anggota polis barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Ops Daulat baru-baru ini, menyertai perbarisan Hari Polis ke-206 di Pusat Latihan Polis, Pulapol pagi ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 Pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu menyertai perbarisan dengan mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Sambutan Hari Polis, yang bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami' itu antara lain mengetengahkan revolusi kepolisan negara sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.

Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan, pasukan polis di zaman Pasca Merdeka sehingga era Komunis dan menuju Era Kepolisan bertaraf antarabangsa.

Konsep ketiga-tiga era itu dipersembahkan dalam perbarisan Hari Polis, merangkumi kelengkapan dan pakaian polis.

Buat pertama kalinya pada sambutan kali ini pasukan polis turut mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir pada upacara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Polis ke-206.