Anggota polis mengaku tidak bersalah cederakan isteri

Abd Razak Mohd Ali
November 23, 2023 13:13 MYT
Mahkamah membenarkan Mohd Zulhazree diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Jan 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya, yang juga anggota polis, Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Zulhazree Razali, 39 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas isterinya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan menendang, menampar dan memukul menggunakan bakul.
Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, kira-kira jam 7 pagi, 9 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh berhadapan hukuman penjara untuk tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Jan 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Syahmi Amran.
#polis pukul isteri #mahkamah majistret ipoh #IPD Ipoh #ipk perak
;