Anggota polis maut terkena tembakan rakan setugas

Astro Awani
Julai 30, 2016 10:11 MYT
Seorang anggota polis maut terkena tembakan secara tidak sengaja oleh rakan setugasnya di sini, pada Jumaat. -Gambar hiasan
Seorang anggota polis maut terkena tembakan secara tidak sengaja oleh rakan setugasnya di sini, pada Jumaat.
Pegawai berpangkat sarjan berusia 57 tahun itu cedera parah di kepala dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias, anggota berpangkat Lans Koperal berusia 32 tahun yang bertugas di stor senjata telah menarik picu pistol jenis 'Walther PPK' ketika melakukan prosedur biasa memeriksa pistol.
"Anggota berkenaan tidak menyangka terdapat satu lagi peluru di dalam pistol berkenaan.
"Peluru pistol itu menembusi tingkap di bilik berkenaan dan terkena mangsa yang berada di luar," katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata mangsa dari Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Serdang itu berada kira-kira 70 meter dari bilik berkenaan.
"Ketika itu mangsa sedang memeriksa enjin kereta sebuah kenderaan MPV di kawasan luar," katanya.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 3.45 petang.
Megat Mohd Aminuddin berkata pihaknya telah mengambil keterangan anggota itu dan siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan.
#IPD Serdang #Megat Mohd Aminuddin #stor senjata #tembakan secara tidak sengaja #Walther PPK
;