Anggota polis maut motosikal dihimpit hingga terbabas, suspek ditahan
Dewi Nur Harasha Alias
April 17, 2021 06:39 MYT
April 17, 2021 06:39 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki didakwa menyebabkan kematian seorang anggota polis awal pagi semalam.
Suspek lelaki berusia 35 tahun ditahan sepasukan anggota polis sejurus kemalangan berlaku di Jalan Utama, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Sabtu itu, suspek didakwa menghimpit motosikal Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 23, yang bertugas di Balai Polis Dato Keramat, hingga menyebabkan mangsa terbabas dan meninggal dunia.
Mangsa yang terjatuh dari motosikal dilapor terhantuk pada pembahagi jalan menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kejadian berlaku sewaktu Muhammad Iqbal bersama dua lagi anggota yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa pemeriksaan dilakukan, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang motosikal secara berbahaya.
''Suspek menunggang motosikal secara zig zag semasa anggota berkenaan mengejarnya.
"Malah suspek bertindak menghimpit motosikal anggota polis tersebut menyebabkan mangsa terbabas lalu meninggal dunia di tempat kejadian," kata Soffian.
Siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan ganja.
Soffian berkata siasatan lanjut polis mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan lima rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#anggota polis maut
#kejar penjenayah
#Muhammad Iqbal Mazlan
#Soffian Santong
#himpit motosikal
#tunggang motosikal secara berbahaya