Anggota polis maut motosikal bertembung lori sawit

Shuhada Abdul Kadir
Januari 10, 2020 23:15 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. - Foto ihsan PDRM
Seorang Penolong Pegawai Penyiasat Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di Jalan Machap, di sini petang Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 4.40 petang itu, mangsa Muhammad Hanif Hassan, 24, yang berpangkat sarjan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dalam perjalanan pulang dari Muar, Johor bagi menjalankan siasatan sebelum motosikalnya bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 35 tahun dan seorang kelindan berusia 32 tahun yang cuba membelok ke kanan jalan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang membawa muatan buah kelapa sawit tiba di persimpangan tempat timbang sawit Hong Huei Trading Sdn Bhd telah membelok ke kanan.
“Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah bertentangan kemudian melanggar bahagian tepi sebelah kiri lori tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan pihak polis turut menahan pemandu lori berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Tangkapan dibuat dan polis akan memohon pihak mahkamah bagi perintah reman esok (11 Januari).
“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
#anggota polis maut kemalangan #Hospital Alor Gajah #IPD Alor Gajah #Jalan Machap #lori sawit #Muhammad Hanif Hassan #Polis Daerah Alor Gajah
;