Anggota polis maut motosikal bertembung dengan lori

Bernama
Mac 10, 2025 09:15 MYT
Seorang anggota polis lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di di KM 9 Jalan Gemencheh-Batang Melaka, dekat Seremban, malam tadi. - Gambar Facebook IPD Tampin
SEREMBAN: Seorang anggota polis lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di di KM 9 Jalan Gemencheh-Batang Melaka, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 33 tahun yang bertugas di Balai Polis Tanjung Ipoh, Kuala Pilah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari Simpang Renggam, Johor menuju ke Kuarters Balai Polis Tanjung Ipoh.
"Mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nurul Afiqah Aqwa Haslan di talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#anggota polis maut #kemalangan #motosikal bertembung lori #motosikal Yamaha
;