Anggota polis maut dipercayai tertembak dalam operasi di Hutan Simpan Sik
Adie Sufian Zulkefli
Februari 29, 2024 16:50 MYT
Februari 29, 2024 16:50 MYT
SIK: Seorang anggota polis daripada cawangan khas (SB) maut dipercayai tertembak ketika melaksanakan pemantauan di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik, Kedah, pada Rabu.
Mangsa berpangkat koperal berusia 39 tahun dari Bahagian Anti Pengganas (E8) itu menyertai pemantauan terbabit pada 27 Februari lalu.
Menurut sumber, mangsa masuk ke kawasan hutan simpan berkenaan pada Rabu bersama dua individu lain sebelum disedari belum pulang ke markas penginapan.
Susulan itu, sepasukan polis masuk ke hutan untuk mencari di kawasan berkenaan sebelum menemui kenderaan mereka di tepi jalan kawasan hutan.
“Seorang individu yang bersama dengan mangsa kemudian memberitahu berlaku insiden tertembak yang mengenai mangsa.
"Pada 8 pagi hari ini, mangsa dibawa keluar daripada hutan simpan berkenaan dan dibawa ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.
"Satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kejadian berkenaan," katanya.