Anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk dalam sekatan jalan raya di Kajang
Afiezy Azaman
Mei 2, 2020 07:00 MYT
Mei 2, 2020 07:00 MYT
Seorang anggota polis maut dalam nahas jalan raya ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan Lebuh Raya LEKAS, awal pagi Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mangsa dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol kira-kira jam 2 pagi.
"Kejadian berlaku apabila pemandu kereta Toyota Hilux yang datang dari arah Kajang menuju ke Plaza Tol Kajang Selatan gagal mengawal kenderaan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Pemandu tersebut telah melanggar seorang anggota polis sedang bertugas serta kenderaan polis yang diletakkan di tepi jalan.
"Kenderaan tersebut telah menghempap mangsa sehinggakan menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan badan, sekali gus meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata laporan polis telah dibuat oleh penyelia sekatan jalan raya namun pemandu Hilux masih belum melakukan tindakan yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#anggota polis maut
#pemandu mabuk
#Plaza Tol Kajang
#Sekatan Jalan Raya
#Seksyen 41
#Toyota Hilux