Anggota polis maut dalam perjalanan bertugas
Bernama
Mac 29, 2024 22:36 MYT
Mac 29, 2024 22:36 MYT
SEREMBAN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 6, Jalan Bahau-Kemayan di sini tengah hari tadi.
Kemalangan pada kira-kira 1 tengah hari itu menyebabkan Koperal Mohd Nadzri Ibrahim, 38, dari cawangan pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke tempat bertugas di IPD Jempol sebelum motosikalnya berlanggar dengan sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
"Akibat pelanggaran itu anggota tersebut cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hoo berkata pemandu treler terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman akan dilakukan esok.
-- BERNAMA