Anggota polis mati ditembak ketika rondaan

Astro Awani
Januari 6, 2014 18:45 MYT
Pegawai Penyiasat Balai Polis Jaya Gading, Kuantan, Pahang ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian muka dan dada di ladang LKPP Jaya Gading, kira-kira 9 pagi tadi.
Mangsa, Koperal Abdul Halim Mohd Ali, 48 tahun yang berasal dari Triang, Pahang terkena satu das tembakan, dipercayai peluru tabur daripada senapang buatan sendiri.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, mangsa melakukan Rondaan Cegah Jenayah bersama 3 anggota yang lain, pada petang semalam.
Ketika rondaan, mereka terserempak dengan dua suspek bermotosikal sebelum bertindak mengejar mereka di ladang berkenaan.
Mangsa yang juga bekas Komando 69 telah mendahului anggota lain, namun gagal dihubungi selepas itu.
Mayat mangsa dijumpai oleh seorang pekerja ladang terbabit.
Sharifuddin berkata mangsa telah ditemui kira-kira jam 9 pagi. Pihak forensik dan petologist daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan telah dihubungi untuk mengesahkan kematiannya. Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia disebabkan terkena tembakan.
Polis turut menemui selaras senapang patah berhampiran lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk dibedah siasat.
Polis kini sedang memburu dua suspek terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#Abdul Halim Mat Ali #ditembak #kejar suspek #mati #polis #senapang patah
;