Anggota Polis Marin hadapi 43 pertuduhan rasuah hampir RM150,000

Abd Razak Mohd Ali
Januari 26, 2021 17:51 MYT
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Seorang anggota Pasukan Polis Marin didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas 43 pertuduhan rasuah berjumlah RM146,350 antara tahun 2016 hingga 2019.
Koperal Zubairi Abdul Mutalib, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.
Dia yang bertugas sebagai Ketua Jentera Bot Ronda di Pengkalan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan, didakwa menerima suapan wang tunai daripada seorang individu berjumlah antara RM150 hingga RM4,750, setiap bulan mulai Mei 2016 hingga Julai 2019.
Ia sebagai satu dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap 18 bot nelayan sepanjang tempoh tersebut.
Dia dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dia turut dituduh dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disambung semula pada Rabu bagi mendengar 101 lagi pertuduhan terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri.
#Pasukan Polis Marin #anggota #Rasuah #Koperal #Sitiawan #Perak #tidak mengambil tindakan #bot nelayan #Mahkamah Sesyen Ipoh
;