Anggota polis lepas tuduhan miliki dadah

Ifti Femida
Mei 12, 2022 06:04 MYT
Mohd Ibnisan (tengah) bersama dua peguamnya di Mahkamah Majistret Maran hari ini. - Astro AWANI
MARAN: Seorang anggota polis, Mohd Ibnisan Ibrahim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Maran di sini atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.
Majistret Nur Syafiqah Noorinda membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan.
Sebelum ini, mahkamah mendengar lima saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan sejak tertuduh didakwa pada 5 Ogos 2020.
Menurut kertas pertuduhan, Mohd Ibnisan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 17.9 gram ketika pemeriksaan jalan raya di Felda Jengka 19, pada pukul 1 pagi 5 Jun 2020.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun, serta dirotan tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzani Isa manakala tertuduh diwakili peguam P Taneswaran dan Inderpal Singh.
#Mahkamah Majistret #Dadah #polis #Maran