Anggota polis kena saman salah guna parkir OKU
Hakim Rahman
Jun 1, 2023 23:06 MYT
Jun 1, 2023 23:06 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis trafik Kuala Lumpur disaman selepas meletakkan motosikal milik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di parkir Orang Kurang Upaya (OKU) di Apartmen Flora Damansara.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Katanya, Polis Daerah Petaling Jaya telah mengesan satu gambar yang tular yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter sebelum siasatan lanjut dijalankan.
"Gambar tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun @nanmanjoi8715 dalam halaman Twitter memaparkan sebuah motosikal jenis Honda ST 1300 milik Cawangan Motoked Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan OKU di Apartment Flora damansara," katanya dalam kenyataan.
Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan.
Mengulas lanjut, Fakhrudin berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang.
Menerusi video dan gambar yang tular, anggota polis terbabit menunggu motosikalnya yang dikunci dibuka oleh seorang pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan sekitar jam 11.30 pagi, Isnin lalu.
Anggota polis trafik terbabit kemudian beredar selepas kunci motosikalnya dibuka.