Anggota polis hilang pistol selepas kemalangan
Bernama
Ogos 28, 2013 08:17 MYT
Ogos 28, 2013 08:17 MYT
Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor kehilangan sepucuk pistol selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Seksyen 20 di sini, awal pagi Isnin.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata kemalangan pada pukul 5.45 pagi itu menyebabkan anggota polis berkenaan cedera di kepala dan lutut manakala motosikal yang ditunggangnya remuk.
"Kami sedang menyiasat kemungkinan ada orang lain mengambil pistol itu sejurus mangsa terjatuh ekoran kemalangan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat kepada pegawai polis pada perhimpunan khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.
Thaiveegan berkata anggota polis itu yang tidak memakai uniform sewaktu kemalangan, kini dirawat di hospital dan tidak berupaya untuk bercakap buat masa ini.