Anggota polis disaman guna nombor pendaftaran 'fancy'

Sinar Harian
November 19, 2021 11:48 MYT
Saman dikeluarkan terhadap anggota polis tersebut kerana menggunakan nombor pendaftaran 'fancy' dan menunggang tanpa cermin pandang. - Foto Sinar Harian
AMPANG JAYA: Seorang anggota polis yang tular menggunakan nombor pendaftaran 'fancy' dan menunggang tanpa cermin pandang belakang dikenakan tindakan saman.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, video tersebut dikesan dimuat naik menerusi aplikasi media sosial TikTok memaparkan seorang anggota ronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.
"Tindakan undang-undang telah diambil terhadap anggota tersebut dengan mengeluarkan saman trafik bagi kesalahan nombor pendaftaran 'fancy' dan kesalahan tiada cermin pandang belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Farouk menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota polis yang melanggar peraturan ditetapkan.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#saman #nombor pendaftaran #fancy #anggota polis
;