Anggota polis direman 4 hari bantu siasatan kes guru dicederakan di Lenggong
Nazialita Geynna Maharan
September 7, 2016 15:50 MYT
September 7, 2016 15:50 MYT
Seorang anggota polis direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru mendakwa dicederakan di Lenggong pada 30 Ogos lepas.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Nasrul Hadi Abdul Ghani kepada anggota polis berpangkat konstabel tersebut.
Reman tersebut dikeluarkan di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu, hari ini dan tempoh reman selama empat hari bermula pada hari yang sama.
Penahanan reman dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.
Kes tersebut viral dalam laman sosial baru-baru ini apabila seorang guru lelaki mengadu patah tangan selepas ditangkap polis kerana disangka penagih dadah, Selasa minggu lepas.
Kes tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak dan netizen menyatakan rasa tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian.
Guru tersebut dikatakan pulang dari mengajar tuisyen di sekolahnya sebelum dikejar polis yang menyangkanya menggunakan motosikal curi.
Bimbang dirompak, guru itu cuba melarikan diri kerana tidak tahu individu mengejarnya merupakan anggota polis.
Dia kemudiannya ditahan dan dilaporkan mengalami kecederaan ketika sedang bergelut semasa ditahan.