Anggota polis didakwa terlibat penyeludupan 29 pendatang asing Myanmar

Muhafandi Muhamad
Februari 13, 2023 14:45 MYT
Koperal Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan penyeludupan membabitkan 29 migran warganegara Myanmar pada Jan lepas. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan berhubung penyeludupan 29 pendatang asing warga Myanmar pada 16 Januari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan melibatkan tujuh lelaki dan enam perempuan warga Myanmar.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah van di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong jam 1.30 pagi pada 16 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan pendatang terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah rumah inap desa di Jalan Pintu Geng, di sini, jam 9.45 pagi pada 16 Januari lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana ianya kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi iaitu bagi keterangan migran.
#koperal polis #seludup PATI #pendatang Myanmar #Kota Bharu
;