Anggota polis didakwa minta suapan lindungi kekasih berduaan dalam kereta

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 22, 2024 11:50 MYT
Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melindungi pasangan kekasih yang ditahan berdua-duaan, tahun lalu. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Tiga anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melindungi pasangan kekasih yang ditahan berdua-duaan, tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Adham Samsudin, 34 tahun, Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, 29 tahun, dan Muhammad Najib Muhamad, 36 tahun, membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa meminta secara rasuah wang tunai bernilai RM3,000 daripada sepasang kekasih sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan lanjut selepas ditahan berdua-duaan di dalam kenderaan.
Kesalahan itu dilakukan di dalam bilik rehat ‘Ops Lejang’ Balai Polis Melaka Tengah, antara pukul 2.40 pagi dan 3.30 pagi, 7 Okt tahun lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berkenaan ketika berada di meja batu bersebelahan Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk, Melaka sekitar pukul 4 hingga 4.30 pagi pada tarikh sama.
Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM10,000 mengambil kira perbuatan rasuah yang dilakukan.
Beliau pada hujahannya turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan semua tertuduh hanya berpendapatan antara RM2,000 dan RM3,300 dan mempunyai tanggungan isteri serta anak.
Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh serta membenarkan syarat-syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 20 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
#Rasuah #Mahkamah Sesyen #polis #mahkamah sesyen ayer keroh
;