Anggota polis cedera parah di kepala, khemah sekatan jalan raya PKP runtuh
Afiezy Azaman
April 7, 2020 22:21 MYT
April 7, 2020 22:21 MYT
Seorang anggota polis cedera parah di kepala selepas khemah sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) runtuh di Jalan Besar Putra Permai, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan, insiden itu berlaku disebabkan oleh angin lintang dan hujan lebat pada 12.30 tengah malam.
"Anggota yang cedera merupakan seorang konstabel polis berumur 20-an dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang yang sedang bertugas di lokasi berkenaan.
"Mangsa cedera di bahagian kepala yang menerima lima jahitan, patah bahagian atas tulang hidung serta telah dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, ACP Ismadi berkata, kejadian tersebut juga telah menyebabkan beberapa peralatan telah rosak.
"Saya telah turun sendiri untuk melihat pembaikan peralatan yang rosak dan struktur sekeliling lokasi di sekatan jalan raya tersebut bagi memberi keselesaan kepada petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Kerja-kerja membaik pulih tersebut turut dibantu oleh pihak ATM diketuai Mejar Borhanuddin Mustaparudin," jelas beliau.
#COVID-19
#Hospital Serdang
#Jalan Besar Putra Permai
#khemah PKP
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Polis Daerah Serdang
#Sekatan Jalan Raya
#Seri Kembangan
#Taman Pinggiran Putra