Anggota polis cedera MPV iring MB Johor terbabas, terbalik
Siti Nur Aqilla Omar
April 7, 2022 22:32 MYT
April 7, 2022 22:32 MYT
KOTA TINGGI: Seorang anggota polis cedera selepas kereta peronda polis (MPV) dipandunya terlibat dalam kemalangan dan terbalik di Kilometer (km) 76 Jalan Johor Bahru- Mersing di sini, pagi tadi.
Difahamkan kejadian jam 9.50 pagi itu berlaku ketika anggota berumur 32 tahun itu mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pulang daripada meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat penyelam hilang di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata bagaimanapun seorang lagi anggota polis berusia 42 tahun dalam MPV terbabit tidak mengalami kecederaan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV jenis Honda Civic dalam perjalanan dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru telah gagal mengawal kenderaan yang dipandu ketika melalui selekoh akibat jalan licin dan basah kerana hujan.
"Akibatnya MPV terbabit terbabas ke kiri jalan lalu terbalik. Seorang anggota mengalami cedera ringan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.