Anggota polis cedera ditikam bergelut dengan tokan dadah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 9, 2022 17:56 MYT
Anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 20-an mengalami kecederaan di kedua-dua betis akibat ditikam suspek. - Foto PDRM
PENDANG: Seorang anggota polis cedera ditikam di betis dalam pergelutan ketika manangkap seorang tokan dadah di tepi jalan Kampung Paya Mat Insun, Bukit Jenun, pada Sabtu.
Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan empat pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang melakukan operasi di kawasan terbabit jam 7 petang.
Beliau berkata, ketika itu anggota polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdiri berhampiran motosikalnya sambil memegang plastik hitam.
“Anggota menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai polis dan ketika cubaan menahannya, suspek terus melepaskan plastik hitam dipegang.
"Ketika itu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau yang diselit di pinggang dan menyerang anggota polis.
“Ketika itu berlaku pergelutan dan anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 20-an mengalami kecederaan di kedua-dua betis akibat ditikam suspek serta bengkak pada tangan kiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Wan Hassan berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan dan siasatan lanjut mendapati plastik hitam dibawanya mengandungi dadah disyaki heroin dan ganja.
Katanya, suspek kini ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 186 KK.
#anggota polis ditikam #Bukit Jenun #tokan dadah #Ketua Polis Kedah
;