Anggota polis cedera diserang ketika cubaan tahan suspek

Bernama
Ogos 31, 2024 22:27 MYT
Kejadian berlaku ketika sepasukan polis membuat tangkapan ke atas suspek iaitu lelaki berumur awal 30-an berhubung kes perbuatan khianat. - Gambar hiaan
KOTA BHARU: Seorang anggota polis cedera diserang menggunakan dua bilah gunting pokok ketika cubaan untuk menahan seorang suspek di Kampung Kijang, Badang di sini, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata kejadian tersebut berlaku ketika sepasukan polis membuat tangkapan ke atas suspek iaitu seorang lelaki berumur awal 30-an berhubung kes perbuatan khianat.
"Ketika dalam usaha membuat tangkapan, suspek telah menyerang pihak polis dengan menggunakan senjata iaitu dua bilah gunting pokok menyebabkan kedua-dua belah tangan seorang daripada anggota polis cedera.
"Polis kemudian mengarahkan suspek memberikan kerjasama dan menyerah diri, bagaimanapun lelaki itu masih bertindak agresif dan terus menyerang pihak polis secara bertubi-tubi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ali berkata demi mempertahankan diri dan keselamatan awam, pihaknya melepaskan satu das tembakan mengenai bahagian paha kiri suspek.
Beliau berkata lelaki itu berjaya diberkas dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi mendapatkan rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.
"Suspek direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 353 KK, selain turut disiasat di bawah Seksyen 324 KK," katanya
--BERNAMA
#polis cedera #suspek #gunting pokok #perbuatan khianat #PDRM