Anggota polis cedera dilanggar lari

Dewi Nur Harasha Alias
April 24, 2023 04:40 MYT
Anggota polis berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - Gambar/ PDRM
BUTTERWORTH: Seorang anggota polis cedera selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Bagan Dalam di sini, pada pagi Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian berlaku pada jam 7.55 pagi ketika anggota berkenaan melaksanakan tugas pemantauan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang oleh anggota polis terbabit dari arah Bagan Luar menghala ke arah Bagan Dalam telah bergesel dengan sebuah motosikal.
Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal tersebut disyaki telah melarikan diri.
"Polis kini sedang giat mengesan penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu untuk membantu siasatan lanjut.
"Anggota polis yang terlibat bertugas di Balai Polis Butterworth mengalami kecederaan di bahagian rahang sebelah kiri, cedera mata sebelah kiri, luka di dahi, luka-luka di jari kedua-dua belah tangan dan di kedua-dua belah kaki," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Siti Nor Salawati berkata, anggota polis berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#anggota polis dilanggar #pulau pinang #hari raya #operasi polis