Anggota polis cedera dilanggar kereta bekas ADUN Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 5, 2021 13:19 MYT
Polis sedang jalankan siasatan sama ada pemandu kereta tersebut di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang pesara di lampu isyarat di hadapan sebuah pasaraya Jalan Thean Teik, Air Itam, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 11.30 malam Isnin itu, anggota berpangkat Lans Koperal yang bertugas di ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut itu cedera tapak tangan kiri dan luka di dahi dilaporkan stabil dan dirawat di Zon Kuning, Hospital Pulau Pinang.
Difahamkan, pemandu kereta tersebut adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berkhidmat di negeri itu pada tahun 2008 hingga 2013 dan kini sedang memegang jawatan pegawai khas kepada salah seorang ahli Parlimen.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 27 tahun ketika itu sedang menunggang motosikal sendirian telah dilanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun di bahagian belakang sebelah kanan lalu terjatuh.
"Siasatan awal mendapati, lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Camry mendakwa datang dari arah pusat bandar menghala ke Balik Pulau.
Ketika berada di lampu isyarat di hadapan sebuah pasaraya, tiba-tiba sebuah motosikal dari arah sama masuk di hadapan laluannya.
"Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta terkejut lalu cuba mengelak namun terlanggar motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa," katanya.
Soffian berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu yang sah.
"Setakat ini, pihak kita masih menyiasat sama ada pemandu kereta tersebut di bawah pengaruh alkohol atau tidak ketika kejadian" katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#anggota polis #cedera #dilanggar #pesara #ADUN #kemalangan
;