Anggota polis berpangkat Sarjan maut dalam kemalangan
Nazialita Geynna Maharan
Oktober 4, 2017 21:11 MYT
Oktober 4, 2017 21:11 MYT
Seorang anggota polis berpangkat Sarjan maut dalam sebuah kemalangan di Kilometer 12, Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap pada petang Rabu.
Dalam kejadian sekitar 3.50 petang itu, R. Sivakumar, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dipercayai sedang memandu dari arah Ulu Dedap sebelum terlibat dalam kemalangan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata insiden tersebut berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori seterusnya meragut nyawanya.
"Kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori di bahagian hadapan sebelah kanan.
"Berikutan impak itu, pemandu maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, mayat anggota berpangkat Sarjan itu kemudian dihantar ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan bedah siasat.
Zainal berkata tiada sebarang tangkapsn dibuat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (1987).