Anggota polis bebaskan warga Nigeria digantung kerja
Wan Syamsul Amly
Ogos 14, 2013 22:52 MYT
Ogos 14, 2013 22:52 MYT
Seorang anggota polis berpangkat Koperal digantung kerja kerana membebaskan seorang tahanan warga Nigeria dari lokap Balai Polis Jinjang Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, anggota polis itu ditahan di kediamannya di Jinjang bagi membantu siasatan.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan lokap, anggota polis berkenaan bertugas seorang diri dan disyaki telah membawa suspek keluar.
"Anggota tersebut berumur 52 tahun dan sudah, 31 tahun dalam perkhidmatan polis, reman sampai esok.
"Tuduhan bawah akta 225 C dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 7 tahun," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL)
Jelas Ku, pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota polis berkenaan menerima wang sogokan daripada suspek.
Katanya, suspek direman selama tiga hari bermula Selasa bagi mengumpul bukti untuk pendakwaan di mahkamah.
Sehubungan itu polis turut melancarkan gerakan memburu warga asing, Osuji Kelly Prince, berumur 25 tahun yang ditahan pada 2 Ogos lepas bersabit kes dadah.