Anggota polis akan ditempatkan di protes Geramm petang ini
Astro Awani
Januari 4, 2014 12:10 MYT
Januari 4, 2014 12:10 MYT
Polis Kuala Lumpur mengesahkan bahawa anggota polis akan ditempatkan di sekitar pejabat Majlis Peguam Malaysia di Jalan Lebuh Pasar bagi mengawasi demonstrasi yang akan dianjurkan oleh Gerakan Media Marah (Geramm) petang ini.
Akhbar The Sun Daily melaporkan, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, “Ya, kami sedar akan protes tersebut dan anggota polis akan berada di lokasi itu.”
Apabila ditanya sama ada kumpulan tersebut telah melaporkan mengenai perhimpunan ini seperti yang tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, beliau berkata: “Tidak, kami tidak dimaklumkan, tetapi kami tahu ia akan diadakan di lokasi tersebut.”
Selasa lalu, kumpulan yang dianggotai oleh editor dan wartawan tempatan membuat kenyataan menerusi laman sosial Facebook dimana protes “Pensil Merah” akan diadakan pada Sabtu, jam 2 petang.
Jurucakap kumpulan tersebut, Radzi Razak memberitahu bahawa protes itu dijangka mengambil masa kira-kira sejam dan menurutnya perhimpunan ini telah dimaklumkan kepada pihak polis.
Dalam satu forum yang diadakan pada 29 Disember lalu, kumpulan tersebut telah mengutarakan lapan perkara mengenai kebebasan media kepada kerajaan.
Antara permintaan termasuk memansuhkan permit penerbitan dan membatalkan penggantungan akhbar mingguan The Heat.
Kementerian Dalam Negeri pada 18 Disember tahun lalu telah menggantung permit akhbar tersebut setelah gagal untuk membalas dua surat tunjuk sebab oleh kementerian.
Namun, penerbitan tersebut menjelaskan di laman portalnya yang pihaknya telah memberikan kerjasama sewaktu mesyuarat bersama wakil kementerian bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Hasil perbincangan itu masih belum diumumkan.