Anggota PGA, pengawal keselamatan maut akibat 'kepala air'

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 5, 2020 09:40 MYT
Kata Aidi, Sarjan Simon dijumpai pada jam 2 petang manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 2.30 petang dengan jarak antara satu sama lain sekitar satu kilometer. - Gambar fail
KUCHING: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am dan seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan maut di Sungai Melana, Long Karangan Baram pada Khamis adalah disebabkan korban 'kepala air'.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, anggota PGA itu ialah Sarjan Simon Laja, 47 berasal dari Sarikei manakala pegawal keselamatan itu dikenali sebagai kemain, 50 tahun.
"Ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama lima lagi individu - dua pegawal keselamatan dan tiga pekerja SSGP melakukan rondaan di sungai yang cetek apabila tiba-tiba berlaku kejadian kepala air iaitu sekitar jam 6 petang.
"Kesemua mereka dihanyutkan air sungai tetapi lima daripada mereka berjaya menyelamatkan diri sementara dua lagi mangsa gagal ditemui," katanya dalam kenyataan.
Tambah Aidi, bertindak atas maklumat, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bersama tujuh anggota PGA dan 27 pekerja Kem Samling yang dipecahkan kepada empat kumpulan.
Katanya, Sarjan Simon dijumpai pada jam 2 petang manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 2.30 petang dengan jarak antara satu sama lain sekitar satu kilometer.
Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Long Lama, Ulu Baram dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
#Anggota maut #Anggota PGA maut #Ulu Baram #Miri #kepala air #terkorban
;