Anggota PGA maut dipercayai tertembak diri sendiri
Bernama
Ogos 7, 2020 19:02 MYT
Ogos 7, 2020 19:02 MYT
Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA (PLPGA) di Bedong dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada 5.10 pagi itu, Muhammad Aslam Ahmad, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata sebelum kejadian, pada 4. 30 pagi mangsa telah hadir ke bilik pengawal dan mengarahkan dua anggota yang bertugas untuk membawa kelengkapan beserta senjata ke bilik rehat untuk diperiksa.
"Mangsa telah memaklumkan kepada dua anggota berkenaan bahawa dia berasa sejuk dan mahu berehat di dalam bilik tersebut. Ketika dua anggota berkenaan beredar semula ke pos pengawal, mereka telah terdengar bunyi letupan tembakan.
"Kedua-dua anggota bergegas kembali ke bilik rehat dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala. Mereka telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak penyelia sebelum menghubungi polis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Adzli berkata siasatan awal mendapati mangsa, yang masih bujang dan mula menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2008 dan telah melapor diri ke PLPGA pada April 2009, tidak mempunyai sebarang masalah displin atau kewangan.
"Pasukan forensik telah hadir ke tempat kejadian dan mendapati terdapat satu kesan tembakan di bahagian kepala antara kening kiri dan kanan mangsa.
"Proses bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
-- BERNAMA
#anggota PGA
#Bedong
#Markas Latihan Luar Tupah
#Muhammad Aslam Ahmad
#Pasukan Gerakan Am
#PLPGA
#tertembak diri sendiri