Anggota PGA maut, cedera berdepan 13 anggota kumpulan penyeludup ketum - Portal berita Thailand

Fareez Azman
November 24, 2020 14:07 MYT
Portal berita Thailand itu melaporkan, ketika ini pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
KUALA LUMPUR: Insiden tembakan yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand pada awal pagi Selasa dipercayai angkara kumpulan penyeludup ketum.
Menurut portal berita Thailand, 77 Cool News, siasatan awal pihak berkuasa tempatan memaklumkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan itu adalah angkara 13 anggota sindiket atau 'tentera semut' yang mahu menyeludup bahan terlarang berkenaan ke sempadan Malaysia.
Sejurus mereka terserempak dengan anggota keselamatan, berlaku insiden berbalas tembakan mengakibatkan seorang anggota PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut manakala Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah.
Pada masa sama, tiga anggota sindiket berkenaan yang cedera berjaya ditahan pihak berkuasa.
"24 November 2020 kira-kira pukul 1 pagi, dilaporkan bahawa berlaku pertempuran tembakan antara pengawal perbatasan Malaysia. Ia melibatkan tentera semut Thailand yang menyeludup masuk ke pondok di Malaysia, di kawasan perbatasan 9/6-7, Ban Taloh, Moo 8, sempadan Wilayah Songkhla-Padang Besar.
"Sekumpulan sekitar 13 anggota itu telah menyeludup melintasi sempadan untuk membawa daun ketum. Ketika memasuki sempadan, mereka terserempak dengan anggota keselamatan Malaysia yang membuat sekatan dan menembaknya dengan senjata api.
"Anggota tentera semut itu yang membawa senjata api telah melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan tersebut menyebabkan seorang cedera dan seorang lagi mati," kata portal berita itu.
Portal berita itu melaporkan, ketika ini pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian, manakala anggota tentera semut yang cedera telah dimasukkan ke hospital berdekatan.
Salah seorang anggota tentera semut yang ditahan dikenali sebagai Mahamad Yousoptala, 34 tahun.
Sementara itu, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 3.10 pagi ketika mangsa Koperal Baharuddin sedang bertugas bersama Koperal yang mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk proses bedah siasat sementara mangsa yang cedera pula sedang menerima rawatan di hospital yang sama dengan keadaannya dilaporkan kritikal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian dan memaklumkan beliau kini dalam perjalanan ke Perlis.
#sindiket #penyeludup #tentera semut #PGA #PDRM #kerajaan #pasukan keselamatan #Insiden tembak menembak #padang besar #Op Benteng #portal berita #Ketua Polis Negara #Thailand #Malaysia #Hamzah Zainuddin #Menteri Dalam Negeri #Anggota PGA terkorban
;