Anggota PGA maut akibat strok haba
Astro Awani
Julai 5, 2023 15:15 MYT
Julai 5, 2023 15:15 MYT
IPOH: Seorang peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2023 di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, disahkan meninggal dunia akibat strok haba, semalam.
Muhamad Irfan Irham, 21, berpangkat konstabel meninggal dunia sekitar jam 5 petang selepas rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan itu.
Komandan Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafiz Kadir berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian Muhamad Irfan Irham disahkan akibat strok haba, lapor Sinar Harian.
"Bedah siasat telah pun selesai sekitar jam 10.30 pagi tadi dan punca kematian disebabkan strok haba," katanya.
Sementara itu, ibunya Norizan Idris, 49, berkata anak kedua daripada tujuh beradik itu tamat latihan di Pusat Latihan Polis Langkawi Januari lepas dan terus ditempatkan di Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA.
Menurutnya, sepanjang hampir enam bulan ditempatkan di situ, arwah kelihatan gembira dan bersemangat, malah bercita-cita tinggi mahu menyertai pasukan elit polis Komando 69.
"Arwah ada beritahu nak pergi ujian komando yang dibuka hujung tahun ini. Ikutkan menang cita-cita dia nak masuk komando sebab arwah sukakan aktiviti lasak.
"Sejak dulu kalau ada masa terluang dia akan pergi aktiviti mendaki, masuk ke hutan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.
Norizan berkata, meskipun sedih dan terkejut dengan pemergian Allahyarham secara tiba-tiba, mereka sekeluarga menerimanya sebagai ketentuan takdir.
Katanya, mereka telah pun diberikan penerangan oleh pegawai terlibat mengenai kejadian tersebut termasuklah keputusan penuh bedah siasat yang dijalankan.
"Kami terima penjelasan diberikan dan setakat ini tidak timbul sebarang keraguan.
"Arwah sendiri tidak pernah mengadu atau mengeluh apa-apa melainkan bersikap ceria dan suka dapat bertugas di sana.
"Sebagai ibu, saya anggap ini satu kematian dan pengakhiran yang baik dalam keadaan dia sedang latihan dan bertugas," katanya.
Ujar Norizan, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika cuti perayaan Aidiladha minggu lalu.
"Arwah nampak biasa sahaja, cuma dia banyak habiskan masa duduk di rumah. Selalunya kalau cuti, dia akan keluar jumpa kawan-kawan," katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq PGA Ulu Kinta bagi proses mandi, kafan dan solat jenazah sebaik selesai bedah siasat sekitar jam 11.15 pagi.
Jenazah kemudiannya dibawa ke kampung halaman di Felda Keratong 1, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang untuk pengebumian.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, Muhamad Irfan Irham yang melapor diri sebagai peserta kursus pada Ahad mengalami kekejangan secara tiba-tiba dan rebah sebelum diserang sawan serta meracau.
Allahyarham sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan awal termasuk bantuan pernafasan, namun disahkan meninggal dunia.