Anggota PGA ditembak tidak pakai jaket kalis peluru kerana tugas risikan

Aida Aziz
November 25, 2020 16:33 MYT
Acyrl Sani berkata anggota yang terlibat dalam tugas risikan juga tidak dibekalkan senjata berat kerana berisiko mendedahkan identiti mereka.
IPOH: Mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban dan Koperal Norihan Tari yang parah dalam insiden tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi semalam tidak memakai jaket kalis peluru kerana melakukan tugas risikan dan penyamaran.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani, berkata anggota yang terlibat dalam tugas risikan juga tidak dibekalkan senjata berat kerana berisiko mendedahkan identiti mereka.
"Semasa kejadian kedua-dua mereka sedang dalam tugas buat risikan dan bukannya rondaan. Kalau ikut prosedur operasi standard (SOP), semua anggota keselamatan yang bertugas buat rondaan perlu memakai seragam dan kelengkapan perlindungan.
"Tapi sewaktu buat risikan tidak boleh pakai baju kalis peluru dan bawa senjata berat kerana nanti tidak boleh lagi melakukan penyamaran.
"Kita masih siasat apakah latar belakang kes ini, adakah serang hendap atau sebaliknya," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak di sini, hari ini.
Acyrl Sani ditanya mengenai persoalan netizen mengenai kedua-dua anggota PGA Batalion 3 (Senoi Praaq) itu yang tidak memakai baju kalis peluru dan hanya bersenjatakan pistol.
Dalam insiden pukul 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, terkorban, manakala rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.
Sementara itu, Acyrl Sani berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman sedang mengkaji dan menilai semula SOP yang digunakan semasa tugasan rondaan, risikan dan pencegahan untuk memastikan keselamatan pegawai, anggota serta orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, Acyrl Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon untuk mendapatkan 36 kereta perisai (APC) secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bagi melaksanakan tugasan rondaan di kawasan sempadan Kedah, Perlis, Kelantan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kerana kewujudan ancaman keselamatan terhadap pegawai serta anggota bertugas.
"Kami perlukan APC ini kerana ancaman oleh pihak yang sentiasa terlibat dengan kegiatan jenayah semakin bertambah. Kena buktikan kami (PDRM) sentiasa mendahului mereka.
"Permohonan dibuat tahun lepas, kami harap dapat 10 unit untuk peringkat pertama. Ia mengambil masa kerana memerlukan kajian teknikal selain kosnya yang agak mahal," katanya.
Tanpa menyatakan jumlah APC yang ada sekarang, Acyrl Sani berkata kenderaan itu perlu diganti dengan yang baharu memandangkan ada antaranya yang digunakan sejak lebih 40 tahun lalu iaitu dari zaman insurgensi Komunis.
#PGA #ditembak #Senoi Praaq #tugas risikan #jaket kalis peluru #identiti #lindungi #Timbalan Ketua Polis Negara #Acyrl Sani #koperal baharuddin
;