Anggota PGA ditembak sedang lakukan risikan sebelum diserang - KPN

Fareez Azman
November 24, 2020 21:51 MYT
Mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tembakan di bahagian rusuk kanannya. Gambar/ Facebook Polis Diraja Malaysia
KUALA LUMPUR: Mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban serta Koperal Norihan Tari yang parah dalam insiden tembak-menembak dengan kumpulan penyeludup di Sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi, sedang menjalankan risikan ketika kejadian berlaku.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kedua-dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu terdahulu menaiki motosikal ke lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari sebuah pos kawalan PGA berhampiran.
"Pada jam 2.30 pagi, dua orang anggota (itu) daripada Strike Force Company A, PGA Batalion 3 (Senoi Praaq), Bidor telah keluar.
"Mereka berdua menunggang motosikal untuk memantau dan meninjau (untuk membuat risikan) di kawasan laluan tersebut yang merupakan denai di dalam belukar menuju ke sebuah kebun berhampiran sempadan.
"Apabila telah sampai dekat belukar, mereka telah meletakkan motosikal di kawasan itu dan berjalan kaki mengikut denai.
BACA: Kes tembak anggota PGA: 6 suspek ditahan, 3 rakyat Malaysia diburu
BACA: Kes tembak anggota PGA: Tiga peluru tembusi tubuh Koperal Norihan - KPN
"Lebih kurang 400 meter berjalan, mereka terserempak dengan sekumpulan lelaki (penyeludup), kita anggap 13 orang... serta-merta berlaku tembak-menembak antara mereka dan kumpulan itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman malam ini.
Beliau berkata, kedua-dua anggota terbabit bagaimanapun hanya menggunakan pistol disebabkan mereka bertugas sebagai anggota peninjau yang mengumpul risikan dan tidak dibekalkan senjata berat.
Ketika bertempur, katanya mendiang Baharuddin telah terkena tembakan dan berundur kira-kira lima meter sebelum mengarahkan rakannya untuk keluar mendapatkan bantuan.
"Apabila berlaku tembak-menembak, Koperal Baharuddin telah tercedera dan berundur sejauh empat hingga lima meter sebelum rebah di situ.
"Beliau sempat mengarahkan rakannya segera balik meminta bantuan," katanya.
Abdul Hamid berkata, ketika Norihan berlari ke arah motosikal sebelum bergegas ke pos kawalan PGA tidak jauh dari situ, Baharuddin yang masih bertempur kehabisan peluru.
"Norihan yang parah sempat sampai di pos kawalan sebelum lima anggota PGA bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mendiang terbaring dengan keadaan masih memegang pistol yang kehabisan peluru.
"Mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan di bahagian rusuk kanannya," katanya.
Jelas Abdul Hamid, kedua-dua anggota itu disifatkan sebagai wira negara.
Katanya, kehebatan mereka tidak boleh dipertikaikan kerana masih mampu membuat tembakan yang mencederakan beberapa penyeludup walaupun bertempur hanya menggunakan pistol dalam keadaan gelap.
Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, kedua-dua mereka merupakan anggota berpengalaman dan telah menjalani kursus Komando VAT69 dan pernah menerima beberapa penghargaan sebelum ini.
"Mendiang Koperal Baharuddin Ramli berkhidmat selama 35 tahun dah tiga kali menerima surat penghargaan atas perkhidmatan cemerlang.
"Manakala Koperal Norihan berkhidmat selama 17 tahun dan beliau pernah menerima satu surat penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang," jelas Ketua Polis Negara itu.
#PGA #ditembak #sempadan #koperal baharuddin #koperal norihan #Ketua Polis Negara #Abdul Hamid Bador #penyeludup #wira negara
;