Anggota PGA ditembak: Mendiang Koperal Baharuddin rajin, berani - Rakan baik
Abd Hadi Che Awang
November 24, 2020 20:00 MYT
November 24, 2020 20:00 MYT
PADANG BESAR: Mangsa kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Koperal Baharuddin Ramli disifatkan sebagai seorang yang berani dan rajin dalam melakukan setiap arahan yang diterima.
Rakan baik mangsa, Koperal Judin Awi, 43, berkata dia tidak menyangka pertemuan dengan mendiang pada Isnin sebelum keluar membuat rondaan di kawasan pagar sempadan itu merupakan pertemuan terakhir mereka.
Menurutnya, beliau antara anggota yang terawal tiba di lokasi kejadian dan melihat melihat keadaan mayat mendiang Baharuddin terbaring sambil memegang erat pistolnya.
Tambah Judin, mendiang merupakan seorang tidak pernah mengeluh apabila mendapat sesuatu tugasan malah sering menasihati rakan-rakannya agar tidak gentar dan takut dengan sesiapa demi menjaga kedaulatan negara.
"Dia ini memang seorang yang baik dalam tugasan-tugasan... dia jenis ramah tak kira orang... senang berkawan dengan dia, tak sombong.
"Mendiang memang berani... dia tak mudah mengaku kalah... pernah dia beritahu kita sebagai seorang lelaki kita kena tunjuk kehebatan kita tu, kita jangan mengalah jadi kita tak boleh takut walau apa saja kita kena berani," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Katanya, dia juga difahamkan, mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan turut merancang untuk bersara awal tahun hadapan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.
Terdahulu, Baharuddin yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, terkorban akibat ditembak, awal pagi Selasa.
Ketika kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi, mangsa sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.
#PGA
#sempadan Malaysia-Thailand
#anggota PGA
#Baharuddin Ramli
#Judin Awi
#penyeludup
#ketum
#ditembak
#tembak-menembak