Anggota perwakilan banjiri EGM MCA
Ben Dolnick
Oktober 20, 2013 13:22 MYT
Oktober 20, 2013 13:22 MYT
Sejumlah 2,199 anggota perwakilan kebangsaan MCA menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu di Wisma MCA di sini hari ini.
Jumlah itu adalah 92 peratus daripada 2,385 anggota perwakilan dari seluruh negara, kata Speaker Datuk Yip Phooi Hong.
EGM ini diadakan untuk mencela timbalan presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana keengganannya menerima keputusan bersama parti dan kegagalannya dalam menjalankan tugas sebagai pengerusi jawatankuasa persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) parti itu.
Tiga resolusi lain ialah untuk mengubah resolusi yang diluluskan pada perhimpunan tahunan 2011 dan 2012 agar anggota parti itu tidak menerima sebarang jawatan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta dalam syarikat berkaitan kerajaan sekiranya MCA mencatat prestasi buruk pada PRU13.
Pengundian bermula pada kira-kira pukul 10.30 pagi dan dijangka selesai pada tengah hari.