Anggota pasukan khas siasat kehilangan dua aktivis sosial akan diumum
Hilmi Malik
Jun 25, 2019 17:07 MYT
Jun 25, 2019 17:07 MYT
Senarai anggota pasukan khas yang menyiasat berhubung kehilangan paksa melibatkan dua aktivis sosial, Pastor Raymond Koh Keng Joo serta Amri Che Mat akan dimumkan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menamakan kesemua anggota serta skop tugasan pasukan berkenaan.
“Saya akan lantik anggotanya sehari dua ini dan namanya akan diumumkan, kita akan bagi skop tugasan dan tanggungjawab bagi pasukan berkenaan”, katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di sini pada Selasa.
Tambah beliau, pasukan khas yang dibentuk itu diberi tempoh selama enam bulan sebelum pembentangan laporan dilakukan mereka.
Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mendakwa kehilangan kedua-dua aktivis sosial itu mempunyai kaitan dengan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan inkuiri awam yang bermula pada Oktober 2017.
Pastor Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.
Sementara Amri Che Mat, 44, yang merupakan pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016.
BACA: Kehilangan paderi Raymond Koh ada kaitan rangkaian di selatan Thai - KPN