Anggota Paskal maut terkena bom ikan
Astro Awani
Februari 6, 2019 06:01 MYT
Februari 6, 2019 06:01 MYT
Seorang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) maut dipercayai akibat terkena bom ikan dalam kejadian di Sungai Pengkalan Merbau, Sungai Tong, di sini, kira-kira jam 5.45 petang Rabu.
Mangsa, Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, yang bertugas di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, dipercayai mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang berusia 32 tahun itu dikatakan pergi ke sungai dengan menaiki sampan bersama tiga lagi ahli keluarganya.
Mereka dikenali sebagai Nur Muhaimin, 35 tahun, Amirul Hakimi, 20 tahun, dan Mohd Rohadi Ruslan, 30 tahun.
Sejurus tiba, mangsa meminta ahli keluarganya supaya meninggalkannya di tebing sungai dan menyuruh mereka memasang pukat di hilir sungai.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Zulkifli Mat Deris berkata, kira-kira 10 minit selepas itu, mereka bertiga terdengar satu letupan kuat.
"Terkejut dengan bunyi letupan itu, mereka telah berteriak memanggil nama mangsa namun tiada jawapan.
"Mereka lalu bergegas ke lokasi mangsa dan menemui mangsa terbaring dengan beberapa kecederaan," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sri Langkap di sini.
Zulkifli berkata, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
#bom ikan
#maut
#Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz
#Paskal
#Setiu
#Sungai
#Sungai Pengkalan Merbau
#Sungai Tong
#Tentera Laut Diraja Malaysia
#TLDM Lumut
#Zulkifli Mat Deris