Anggota Parlimen Tanjung ditahan bantu siasatan kes PPS

Bernama
September 4, 2014 21:06 MYT
Ng (gambar) yang juga Anggota Parlimen Tanjung ditahan pada pukul 1 tengah hari ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Polis hari ini menahan Timbalan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang Ng Wei Aik bagi membantu siasatan berhubung PPS yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Ng yang juga Anggota Parlimen Tanjung ditahan pada pukul 1 tengah hari ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.
"Polis menahan Ng bagi membantu siasatan kes PPS mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Ng kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 6.45 petang.
Ahad lepas polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.
Sehari selepas itu, polis menahan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Delima RSN Rayer.
Sementara itu Mior Faridalatrash berkata kertas siasatan kes PPS yang dihantar kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) semalam dipulangkan semula kepada polis hari ini.
"Pihak KUP mahu polis lengkapkan beberapa perkara lagi," katanya.
Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi pemimpin PPS untuk membantu siasatan kes itu.
##KitaSama #Lim Guan Eng #Merdeka #Phee Boon Poh #PPS.Pasukan Peronda Sukarela #ros #Zahid Hamidi
;