Anggota Parlimen PH serah dokumen isytihar harta - Liew

Bernama
Oktober 31, 2018 04:56 MYT
Menurut Liew, pengisytiharan harta anggota parlimen PH itu hanya melibatkan aset selepas menjadi anggota parlimen. - Gambar fail/BERNAMA
Kira-kira 100 Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah menyerahkan dokumen pengisytiharan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata penyerahan dokumen pengisytiharan harta anggota Parlimen PH yang lain akan mengambil sedikit masa kerana terdapat borang yang dihantar melalui pos.
"Kita juga memberi kelonggaran pengisytiharan harta kepada anggota parlimen PH baharu seperti Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Pengisytiharan harta tidak begitu rumit, seseorang hanya perlu mengisi butiran hartanya dan anak-anaknya yang berumur 21 tahun ke atas. Kita perlukan masa untuk mengumpul data," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini pada Rabu.
Menurut Liew, pengisytiharan harta anggota parlimen PH itu hanya melibatkan aset selepas menjadi anggota parlimen dan mereka memberikan kerjasama yang baik dalam pelaksanaan perkara itu.
SPRM pada asalnya menetapkan untuk memaparkan pengisytiharan harta anggota parlimen PH diportal suruhanjaya itu pada 1 Okt, bagaimanapun ia ditangguhkan hingga 15 Okt. Namun kini telah dilanjutkan lagi tempoh tersebut sehingga tarikh yang belum diputuskan.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #integriti #Liew Vui Keong #Malaysia #Mustapa Mohamed #Pakatan Harapan #Parlimen #pengisytiharan harta #Perdana Menteri #PPBM #SPRM
;