Anggota Parlimen DAP Beruas buat laporan polis terhadap Ismail Sabri
Astro Awani
Februari 3, 2015 22:32 MYT
Februari 3, 2015 22:32 MYT
Anggota Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham membuat laporan polis hari ini terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataan yang dianggap rasis di laman Facebook sebelum ini.
Fotonya yang sedang berada di balai polis daerah Ipoh membuat laporan telah dimuat naik di laman rasmi Twitternya beberapa jam yang lalu.
Tindakan Koo Ham itu adalah susulan kenyataan kontroversi Ismail Sabri yang menggesa pengguna Melayu memboikot kedai makan Cina seperti restoran Old Town White Coffee yang didakwanya milik keluarga Ngeh.
Ismail Sabri mempersoalkan sikap pengguna Melayu yang masih makan di kedai milik kaum Cina yang diragui status halalnya walaupun terdapat banyak restoran Melayu yang lain.
“Lihat sahaja Old Town White Coffee, diragui baru-baru ini. Tetapi masih orang Melayu gagal untuk boikot. Lebih-lebih lagi pemiliknya dikatakan keluarga Ngeh DAP Perak yang terkenal anti-Islam.
"Selagi Melayu tidak berubah, selagi itu Cina ambil kesempatan untuk tindas Melayu."
Susulan kenyataan Ismail itu, Koo Ham berkata akan mengemukakan saman terhadap Ismail Sabri kerana mendakwa dirinya mempunyai pegangan dalam rangkaian restoran itu dan menuduhnya sebagai anti-Islam, lapor The Malaysian Insider pada Isnin.
Koo Ham turut mahu Ismail Sabri membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu dalam tempoh 48 jam.
"Tidak benar sama sekali beliau menuduh saya anti Islam dan mempunyai pegangan dalam Old Town White Coffee.
"Saya tidak pernah, dalam seumur hidup saya, ada pegangan dalam Old Town White Coffee," katanya kepada Malaysian Insider.
Koo Ham berkata khabar angin itu merupakan dakwaan lama yang sering diulang sejak dahulu.
Bagaimanapun, Ismail Sabri enggan memohon maaf kepada Koo Ham berhubung status Facebook yang ditulisnya pada Ahad kerana ia tidak ditujukan khusus kepada penasihat DAP Perak itu.
Kata Ismail kepada The Malaysian Insider pada Isnin, Koo Ham bukanlah satu-satunya individu dengan nama itu yang berada di Perak.
Kenyataan Ismail Sabri di Facebook pada Ahad itu telah mencetuskan kontroversi apabila turut menyarankan pengguna, terutamanya Melayu memboikot peniaga-peniaga Cina yang degil dan enggan menurunkan harga barangan pengguna dan servis.
Ismail Sabri bagaimanapun tidak menyarankan memboikot secara menyeluruh namun hanya peniaga-peniaga Cina degil yang enggan menurunkan harga barangan pengguna.