Anggota muatnaik status berbaur perkauman ditukar serta-merta - KPN
Astro Awani
Julai 23, 2014 20:56 MYT
Julai 23, 2014 20:56 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun twitternya memaklumkan seorang anggota polis yang memuat naik status 'paria' telah diambil tindakan tukar serta merta.
Khalid juga memaklumkan, seorang wanita yang memuatnaik status menghina agama, akan turut disiasat.
Sebelum ini, seorang anggota polis dikatakan memberi komen di laman sosial Facebook terhadap isu kuil yang disifatkan menyinggung orang India dengan panggilan 'paria'.
Sementara itu, dalam kenyataan media Polis Diraja Malaysia (PDRM), Khalid memaklumkan tindakan membuat, mewujud, berkongsi dan memanjangkan maklumat-maklumat yang berbentuk fitnah serta berupaya memarakkan sensitiviti perkauman dan keagamaan, dilihat semakin menjadi-jadi di media sosial.
"Terkini ialah sebaran maklumat berniat jahat yang cuba mencabar kredibiliti kerajaan dan memperlekehkan tindakan PDRM dengan membandingkan bentuk tindakan yang diambil ke atas kes-kes yang melibatkan Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin atau Kiki yang terlibat dalam kes buli jalan raya, Muhammad Zahier Afiq Zarol Nizam yang dipukul lelaki Cina kerana terlibat dalam kes cubaan ragut dan Alvin Jye Lee kerana isu berbuka puasa dengan bak kut teh.
"Apa yang cuba dibayangkan ialah kerajaan dan PDRM bersikap mementingkan kaum tertentu," jelasnya.
Ujar Khalid, pihaknya ingin menegaskan bahawa tindakan yang diambil ke atas setiap siasatan adalah berbeza antara satu dengan yang lain dan bergantung kepada berbagai aspek siasatan termasuklah dari aspek teknikal yang memakan masa.
"Dalam kes Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, siasatan dapat dijalankan dengan cepat kerana kerjasama diberikan dengan menyerah diri kepada polis dan mengaku kesalahannya.
"Sementara dalam kes Muhammad Zahier Afiq Zarol Nizam, lelaki yang dirakam sedang menendangnya masih belum tampil ke hadapan untuk membantu siasatan polis," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, PDRM turut meminta mana-mana anggota masyarakat yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden tersebut untuk menghubungi pihaknya bagi mempercepatkan proses siasatan.
Tambahnya, dalam kes Alvin Tan Jye Lee, siasatan polis telah selesai dan kes ini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Jelasnya, PDRM menjalankan tugas dan tanggungjawabnya berlandaskan prosedur serta undang-undang dan bukannya secara selektif atau atas kepentingan mana-mana kaum atau agama
"Polis ingin menasihati masyarakat agar berhati-hati dan berhemah dalam menggunakan media sosial untuk tujuan berinteraksi dan berkomunikasi.
"Pengguna harus bijak menilai setiap maklumat yang diterima dan tidak ghairah untuk berkongsinya dengan pihak ketiga kerana isu-isu yang sensitif berupaya memecah belahkan perpaduan kaum, menjejaskan ketenteraman awam dan mengganggu gugat keselamatan negara," katanya.
Tegas Khalid, tindakan menyebar maklumat palsu boleh diambil di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan jumlah denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Sementara bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.