Anggota misi 'Women's Boat to Gaza' tiba di Itali

Bernama
September 23, 2016 23:17 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata pelayaran itu berjalan lancar seperti dijadualkan dan keadaan cuaca yang baik memudahkan lagi pelayaran mereka.
Anggota misi 'Women's Boat to Gaza' (WBG) yang menaiki kapal Zaytouna Oliva selamat tiba di pelabuhan Messina, Sicily, Itali pada pukul dua petang tadi (waktu Malaysia).
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata pelayaran itu berjalan lancar seperti dijadualkan dan keadaan cuaca yang baik memudahkan lagi pelayaran mereka.
"Kami dimaklumkan Polis Marin Itali datang ke kapal mereka dan bertanya beberapa soalan kepada ahli misi dan mereka dibenarkan berlabuh di situ.
"Alhamdulillah ahli misi dari Malaysia Dr Fauziah Mohd Hasan dan Norsham Abu Bakar yang mewakili MyCARE berada dalam keadaan sihat selepas tiga hari dua malam berada di atas kapal Zaytouna-Oliva," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
WBG merupakan misi bantuan kemanusiaan yang disertai kaum wanita daripada beberapa negara termasuk Amerika, Algeria, Tunisia dan Malaysia dengan menaiki kapal dari Barcelona ke Gaza mulai 14 Sept hingga 1 Okt.
Dalam kenyataan itu, Dr Fauziah yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE selaku doktor rasmi kapal tersebut berkata semua ahli misi masih bersemangat untuk meneruskan pelyaran demi pembebasan Palestin.
"Hati kami semakin menghampiri Gaza. Kami juga menulis sajak dan travelog semasa di atas kapal tentang pelayaran ini untuk dikongsi kepada umum satu hari nanti," katanya. -- BERNAMA
#Gaza #Israel #Palestin #WBG #Womens Boat to Gaza #Yahudi
;