Anggota MCA diminta elak jurang pemisah, rapat seperti adik-beradik

Bernama
Disember 22, 2013 13:54 MYT
Gambar Fail
Semua anggota MCA hari ini diminta mengelakkan kewujudan jurang pemisah dalam kalangan peringkat bawahan dan golongan pemimpin atasan agar hubungan serta komunikasi dalaman parti menjadi rapat seperti adik-beradik.
Perwakilan dari Taiping Ang Sui Eng berkata ini penting bagi memastikan MCA tidak lagi dipenuhi golongan berpuak-puak sehinggakan perpecahan dalaman yang berlaku dalam parti itu berterusan dan tidak mampu diselesaikan.
"Kita harapkan, selepas pemilihan ini semua anggota MCA memandang sesama sendiri bagaikan adik-beradik...bukannya pemimpin atasan memandang anggota bawahan sebagai orang bawah dan anggota bawahan memandang pemimpin atasan sebagai 'bos' sehingga menyukarkan proses komunikasi," katanya.
Ang berkata demikian ketika sesi perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MCA ke-60, yang masuk hari terakhir, di sini hari ini.
Beliau berkata ketiadaan jurang pemisah dalam kalangan anggota juga akan mewujudkan suasana harmoni seterusnya memudahkan usaha MCA menjalankan pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan parti.
Perwakilan dari Teluk Kemang Datuk Dr Lim Chin Fui pula menyeru semua anggota MCA memikirkan cara untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina dan bukannya berbincang mengenai isu negara seperti ekonomi dan sosial semata-mata.
"Ketika bahas pun tak ada orang (perwakilan) yang cakap bagaimana cara untuk berkhidmat kepada komuniti Cina, asyik bercakap benda sama isu ekonomi, sosial...tetapi cara bagaimana nak menyalurkan khidmat itu tidak disentuh.
"Sekarang ini kita mahu mengembalikan sokongan mereka (masyarakat Cina), jadi selain isu negara, segala isu berkaitan mereka dari hal kecil sehingga besar perlu diberi perhatian," katanya.
Lim berkata langkah itu meskipun dilihat kecil tetapi sebenarnya memberi impak besar dalam usaha mengembalikan semula keyakinan dan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA seterusnya membantu Barisan Nasional memperoleh majoriti lebih besar dalam pilihan raya akan datang dan terus kekal menjadi parti memerintah negara.
#Cina #MCA #perhimpunan #perpaduan
;