Anggota MALBATT meninggal dunia di Lubnan
Umavathi Ramayah
Mei 19, 2024 15:51 MYT
Mei 19, 2024 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) yang dalam misi United Nations Interim Force in Lebonan (UNIFIL) meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi waktu tempatan (7.25 pagi waktu Malaysia), Sabtu.
Kenyataan yang dikeluarkan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, rebah secara tiba-tiba ketika turun dari bas di Kem Marakah.
"Allahyarham pada ketika itu baru sahaja pulang ke Lubnan setelah bercuti di Malaysia
"Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11," kata kenyataan itu di sini, pada Ahad.
Menurut kenyataan itu lagi, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Proses bedah siasat akan dijalakan pada pukul 10.30 pagi waktu Lubnan (3.30 petang waktu Malaysia), pada Ahad.
Kenyataan itu memberitahu, Markas Angkatan Bersama (MKAB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.
Allahyarham yang berasal dari Pendang, Kedah meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 4 hingga 10 tahun.
Allahyarham memasuki perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dengan menyertai Tentera Darat sejak 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Allahyarham sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.